LATAR BELAKANG

 

Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Kedah bagi mencungkil bakat bakat baru untuk diketengahkan sebagai atlet Kedah di Sukan Malaysia (SUKMA) dan seterusnya diserapkan sebagai atlet kebangsaan bagi mewakili Malaysia.

 

Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) telah mula dilaksanakan sejak tahun 1993 dan kali terakhir ia dilaksanakan ialah pada tahun 2016.

 

Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) ini akan dipertandingkan antara 12 buah daerah di negeri Kedah dengan juara keseluruhan akan ditentukan dengan keputusan pungutan pingat emas,perak dan gangsa. Setiap kontinjen daerah akan digerakkan melalui Pengerusi Majlis Sukan Daerah (Pegawai Daerah).

 

Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) ke-7 juga dilaksanakan bagi meraikan warga sukan di semua peringkat di negeri Kedah dengan satu temasya sukan yang membolehkan mereka bertanding dengan semangat juang yang tinggi demi memartabatkan arena sukan negeri Kedah.

 

OBJEKTIF

 

Mengenalpasti atlet-atlet baru dan berbakat untuk mewakili Negeri Kedah ke Sukan Malaysia (SUKMA).

 

Pencetus dan pemangkin kepada kegiatan dan aktiviti sukan di peringkat daerah.

 

Sebagai satu landasan kerjasama antara agensi kerajaan, persatuan sukan dan penggiat sukan di peringkat negeri dan daerah.

 

MSNK telah menyemak dan melaksanakan kajian awalan dengan pihak-pihak terbabit bagi jenis-jenis sukan yang akan dipertandingkan. Oleh yang demikian jenis-jenis sukan yang dicadangkan ini adalah berdasarkan justifikasi-justifikasi berikut:-

 

Sukan-sukan ini merupakan sukan tumpuan yang dikenalpasti oleh MSNK mampu meraih banyak pingat untuk Kontinjen Kedah di Temasya SUKMA kelak.

 

Majoriti daerah-daerah yang bakal bertanding kelak memilih sukan-sukan ini untuk dipertandingkan. Ini adalah hasil semakan dan bancian dengan semua Majlis Sukan Daerah.

 

Akar umbi atlet sukan-sukan ini mudah untuk dikenalpasti bagi pembentukan pasukan serta kontinjen daerah melalui kerjasama antara Majlis Sukan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah dan persatuan sukan masing-masing.

 

Bola sepak merupakan sukan rakyat yang popular dan dengan mengambil kira senario semasa bolasepak di Kedah maka sukan ini dicadangkan untuk dipertandingkan sebagai titik tolak baru era bola sepak moden negeri Kedah.